Pertanding semua jawatan, gesa perwakilan

Pertanding semua jawatan, gesa perwakilan

Anggota delegasi rata-rata cenderung pemilihan diadakan atas semangat demokrasi.

Perhimpunan Agung Umno berlangsung empat hari bermula 11 Januari.
PETALING JAYA:
Perwakilan Umno yang menghadiri perhimpunan agungnya menggesa supaya semua jawatan, termasuk presiden dan timbalan presiden, dipertanding dalam pemilihan parti pada Mei ini.

Ketika perbahasan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, anggota delegasi rata-rata cenderung pemilihan diadakan atas semangat demokrasi.

Jurucakap Pemuda Umno Melaka, Fairul Nizam menyifatkan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemimpin bijaksana yang tidak akan menyekat demokrasi.

“Saya yakin presiden kita berhati mulia. Kita tahu siapa yang menjaga parti ketika ia berdepan tekanan hebat.

“Sayap pemuda tahu siapa paling banyak berkorban untuk parti, dan kita tahu siapa yang telah mengkhianati kita,” katanya selepas ucapan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Jurucakap Pemuda Umno Negeri Sembilan Sufian Maradzi turut senada berpendapat tidak patut ada halangan untuk mempertandingkan jawatan tertentu dalam parti.

“Kami setia dengan perjuangan parti dan tidak akan lari daripadanya.

“Tetapi kita tidak patut dihalang mengadakan pemilihan parti, kerana yakin bahawa pemimpin yang telah menjaga parti akan tetap dipilih perwakilan,” katanya.

Sufian yang juga ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan berkata susulan prestasi hambar Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-15, sudah tiba masanya Umno mengorak langkah baharu seiring keperluan ahli-ahlinya.

Segelintir penyokong Zahid mencadangkan supaya dua jawatan utama itu tidak dipertanding pada pemilihan parti, yang turut dipersetujui 140 ketua bahagian.

Zahid berkata beliau akan menyerahkan kepada 160,000 perwakilan Umno seluruh negara untuk memutuskan perkara itu.

Pada masa sama, timbalannya Mohamad Hasan menyuarakan kesediaan mempertahankan jawatannya sekiranya dipertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.