Parti lain tak minta pun pemimpin letak jawatan lepas kalah PRU, kata Puteri Umno

Parti lain tak minta pun pemimpin letak jawatan lepas kalah PRU, kata Puteri Umno

Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan memberi peringatan itu ketika wujud gerakan supaya Presiden Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan selepas parti itu kalah teruk pada PRU15.

Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan berkata parti lawan sentiasa dilihat kuat dan kukuh apabila sering bangkit mempertahankan pemimpin mereka walaupun diserang pihak lawan.
KUALA LUMPUR:
Puteri Umno mengingatkan ahli mencontohi parti lawan yang tidak terlalu ghairah menjatuhkan pemimpin mereka walaupun beberapa kali tewas pilihan raya.

Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan, memberi peringatan itu ketika wujud gerakan supaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan selepas parti itu kalah teruk pada PRU15.

“Lihatlah dalam kalangan mereka berapa kali mereka kalah pilihan raya tetapi mereka tidak mendesak presiden mereka turun. Kita tidak mahu dilihat seperti ketam di dalam baldi. Apabila ada seekor ketam yang naik ke atas, ketam-ketam lain menarik supaya jatuh ke bawah.

“Kita sepatutnya sama-sama mencari jalan mendukung pemimpin kita menjadi lebih kuat bukan melemahkannya. Apa-apa tindakan yang boleh lemahkan parti mesti kita elakkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau berkata, parti lawan sentiasa dilihat kuat dan kukuh apabila sering bangkit mempertahankan pemimpin mereka walaupun diserang pihak lawan dengan pelbagai tomahan.

“Kekuatan mereka pula walau apapun tohmahan dilemparkan kepada pemimpin mereka, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih. Kelemahan kita pula sekiranya pemimpin kita diserang ramai pula kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita. Prinsip mempertahankan institusi presiden jauh sekali ada dalam kalangan kita.

“Kelemahan kita, kita tak cukup pandai mencari keburukan pemimpin mereka dan menghina hingga ke tahap paling rendah. Apatah lagi membina naratif pembunuhan karakter dan mencipta fitnah. Umno hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karakter mereka satu-persatu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa akademi atau institut Umno perlu ditubuhkan segera kerana cadangan itu sudah lama diutarakan namun ia belum dilaksanakan.

Katanya, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai penyumbang idea baharu yang bernas datangnya daripada Umno.

“Ini bukan idea baharu. Sudah lama diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun hingga kini belum berjalan. Sebab apa? Sebab masih ramai menganggap kepimpinan Umno hanya datang secara semulajadi, hasil lonjakan dari sistem lama kita yang semakin lama pasti akan menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi untuk masa akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.