Kalah PRU15 kerana perpecahan dalaman, Pemuda Umno desak singkir pengkhianat

Kalah PRU15 kerana perpecahan dalaman, Pemuda Umno desak singkir pengkhianat

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menghentam calon parti yang menyerang presiden demi meraih undi selain mendakwa mahu 'memulihkan Umno yang sesat'.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu kalah pada 2018 kerana fitnah dan kalah lagi pada 2022 kerana berpecah.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan faktor utama kekalahan parti itu pada PRU15 akibat perpecahan dalaman, sambil mendesak pengkhianat parti terus disingkirkan.

Beliau berkata, strategi menyerang peribadi, membunuh karakter dan menghancurkan kredibiliti pemimpin adalah senjata paling ampuh bagi melemahkan dan menundukkan mana-mana organisasi.

Asyraf berkata, tindakan itu tidak patut dilakukan mengambil kira presiden adalah pusat graviti kepada parti.

Beliau turut mempersoalkan mengapa rakyat perlu memilih mengundi BN, jika pemimpin atasan dilihat bercakaran.

“Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah…2022 kita kalah kerana berpecah,” katanya ketika merasmikan perhimpunan sayap Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia(WTC).

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Asyraf berkata pada PRU lalu sesetengah calon mencerca parti untuk menjadi “hero” dengan menjaja mengundi beliau bermakna memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup.

“Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.

“Apa hodoh sangatkah Umno yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri. Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti,? soalnya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk calon Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menerusi kempen PRU15 lalu mendakwa dirinya “reformis Umno”, selain mendakwa parti itu “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.

Khairy ketika itu berkata, beliau mahu mengembalikan Umno menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti satu ketika dulu.

Asyraf turut mengecam wujudnya “api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut” yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mencemarkan nama baik Umno dan Presiden Ahmad Zahid Hamidi sambil menggelar mereka sebagai pengkhianat.

“Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti Umno ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.