Askar dipecat enggan vaksin gagal peroleh semakan kehakiman

Askar dipecat enggan vaksin gagal peroleh semakan kehakiman

Mahkamah Tinggi memutuskan angkatan tentera tidak melanggar hak asasi Wan Ramli Wan Seman yang juga bekas sarjan.

Mahkamah diberitahu Wan Ramli Wan Seman dituduh bawah empat seksyen mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas tentera berpangkat sarjan yang ditamatkan perkhidmatan kerana menolak arahan pengambilan vaksin Covid-19.

Hakim Ahmad Kamal Shahid berkata, tiada kesalahan undang-undang atau tindakan tidak rasional dilakukan pihak tentera ketika menamatkan perkhidmatan Wan Ramli Wan Seman.

“Tiada juga pelanggaran hak asasinya,” kata Kamal dalam penghakiman lisan dibuat secara dalam talian hari ini.

Hakim itu berkata, hak mendapatkan pekerjaan bukan mutlak dan majikan berhak meletakkan sekatan ke atasnya.

“Keputusan terhadap Wan Ramli adalah hasil (tindakan menolak) mematuhi perintah vaksinasi,” katanya sambil menambah perintah dikeluarkan pihak tentera dibuat atas “pertimbangan wajar”.

Wan Ramli yang berkhidmat di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, di Rasah, Negeri Sembilan, memfailkan semakan kehakiman susulan penamatan khidmat pada Ogos tahun lalu.

Katanya, tarikh penamatan perkhidmatan asal pada 2 Jan 2023, namun hilang hak berperlembagaan ke atas pencen selepas dipecat secara tidak terhormat.

Dia menamakan pegawai pemerintah, dua pegawai, angkatan tentera dan kerajaan sebagai responden.

Yasmeen Soh Sha-Nisse, yang mewakili Wan Ramli, berhujah penamatan khidmat anak guamnya tidak munasabah kerana tidak diberikan hak untuk didengar.

Katanya, permintaan untuk didengar di mahkamah tentera ditolak oleh pegawai atasannya, Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir, memberitahu mahkamah Wan Ramli dituduh bawah empat seksyen mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.

Ia termasuk mengingkari perintah yang memerlukan dirinya divaksin, menggunakan ugutan atau sumbang kepada pegawai atasan, mengingkari perintah tetap dan berkelakuan melanggar ketenteraman dan disiplin perkhidmatan.

Hanir berhujah Sharull mempunyai hak menangani pertuduhan itu dengan segera.

Katanya, Wan Ramli tidak dinafikan hak untuk didengar dalam pendengaran prosiding terus membabitkan keterangan enam saksi dengan Wan Ramli juga diberikan peluang untuk mempertahankan diri.

Yasmeen berkata, Wan Ramli akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.