Timbang tutup sempadan, perketat saringan Covid-19 tak jamin selamat, kata pakar

Timbang tutup sempadan, perketat saringan Covid-19 tak jamin selamat, kata pakar

Pakar berkata ia langkah terbaik yang boleh dilaksanakan ketika ini bagi membendung sub varian baharu yang sedang menular di beberapa negara.

China berhadapan gelombang besar Covid-19 akibat varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80% daripada varian yang menular di negara berkenaan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang pakar meminta kerajaan mempertimbangkan agar pintu sempadan negara ditutup semula susulan penularan pantas beberapa sub varian baharu Covid-19 di beberapa buah negara.

Pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata langkah itu adalah terbaik yang boleh dilaksanakan ketika ini bagi membendung sub varian baharu.

Katanya, cadangan kerajaan memperketatkan saringan Covid-19 di pintu masuk sempadan negara tidak dijamin selamat dan negara perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Melakukan saringan Covid-19 ke atas pelancong luar adalah langkah kawalan sedia ada dan ia telah pun dibuat sebelum ini dan saya berpandangan ia perlu ada penambahbaikan.

“Menteri kesihatan juga perlu uar-uarkan kepada orang awam apa solusi terbaik yang akan dilakukan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan pelancong yang positif Covid-19 lolos masuk ke negara ini,’’ katanya kepada Bernama.

Menurutnya lagi, kerajaan harus merangka mekanisme terbaik menangani penularan Covid-19 bagi menjamin keselamatan rakyat selain memastikan tidak berlakunya lonjakan kes sehingga mengakibatkan sekatan pergerakan sepertimana sebelum ini.

“Setakat ini, saya tidak nampak sebarang inisiatif terbaharu yang akan dibuat kerajaan perpaduan sekiranya kes naik mendadak susulan kewujudan pelbagai varian baharu Covid-19 di beberapa negara luar termasuk China.

“Pastinya rakyat tertunggu-tunggu apakah jaminan ditawarkan kerajaan sekiranya jumlah kes naik mendadak berpunca daripada kes import memandangkan mereka bimbang sekiranya terpaksa berdepan lagi dengan PKP, ” katanya.

Jangkaan kehadiran pelancong dari China dalam jumlah besar ke Malaysia berikutan pembukaan sempadan negara itu sejak 8 Januari lalu telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.

China berhadapan gelombang besar Covid-19 akibat varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80% daripada varian yang menular di negara berkenaan pada masa ini.

Rabu lalu, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak menguatkuasakan sekatan pelancong asing dari negara tertentu di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara dan susulan itu kerajaan akan memperketatkan kawalan sedia ada di pusat Imigresen.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin berkata, SOP kemasukan pelancong asing di semua pintu masuk antarabangsa adalah kekal dan sebarang keputusan mengenai SOP baharu hanya akan dibuat berdasarkan data terkini Covid-19.

Manakala pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof pula berpandangan, walaupun tiada langkah drastik diambil buat masa ini kerana kes terkawal, namun kerajaan masih melihat virus Covid-19 sebagai ancaman kesihatan.

“Malaysia setakat ini menunjukkan trend jangkitan yang masih rendah sekitar 300 ke 500 kes harian berbanding tahun lepas (2022). Kes harian baharu Covid-19 negara pernah merekodkan kes melebihi 33,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.