
Beliau berkata, sebaliknya kaedah kutipan cukai sedia ada perlu diperkemaskan bagi mengekang ketirisan serta jenayah yang boleh menjejaskan pendapatan negara khususnya aktiviti penyeludupan.
Menurutnya, pendapatan kerajaan perlu ditambah dan pada masa sama mengurangkan hutang kerajaan, namun tidak semestinya mengenakan cukai baharu.
“Usaha ke arah itu sedang dibuat saya ambil contoh kecil, misalnya jika kita boleh mengurangkan ketirisan dari segi penyeludupan. Ada yang menyebut pelarian cukai daripada rokok ini kira-kira RM5 bilion.
“Jadi, kalau kita mengetatkan segala perkara yang berhubung pelarian cukai rokok, penyeludupan rokok maka tanpa sebarang segala cukai baharu, kerajaan boleh mendapat pertambahan sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Ahmad berkata, selain penguatkuasaan oleh kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga perlu memainkan peranan melaksanakan perundingan dengan sektor swasta memperkasakan cukai sedia ada.
Dalam pada itu, Ahmad menegaskan tiada perbincangan atau mesyuarat berkaitan GST dalam kerajaan, namun tidak menolak jika terdapat pembaharuan terhadap dasar cukai diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023, pada 24 Feb.
“Saya tidak boleh kata begitu (perancangan cukai baharu) sebab bajet sedang disiapkan dan hari ini baru 11 Januari, ada sebulan lebih lagi sebelum bajet. Jadi, saya tidak boleh menyebut dan nyatakan tidak ada itu dan ini (cukai baharu).
“Jadi semuanya sedang disiapkan dalam tempoh ini sehinggalah pada Jumaat petang itu barulah siap. Jadi hendak kata tidak ada itu dan ini tidak boleh sebut,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak GST masih lagi cukai terbaik yang dilaksanakan di 170 negara seluruh dunia.