
Peguam Mais, Arham Rahimy Hariri berkata anak guamnya akan menghormati proses perundangan sehingga M Rajeswary dan dua anak perempuannya yang masih bawah umur, menyelesaikan kes itu di peringkat Mahkamah Persekutuan sekalipun jika perlu.
“Majlis tidak akan menguatkuasakan perintah Mahkamah Tinggi Syariah (pada 21 Mei 2020) walaupun Mahkamah Tinggi Sivil telah menolak permohonan beliau untuk semakan kehakiman, dua bulan lalu,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, peguam A Surendra Ananth yang mewakili tiga beranak itu berkata, anak guamnya menarik balik permohonan untuk penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi itu atas dasar saling percaya selepas jaminan diberikan Mais, bulan lalu.
Rajeswary dan anak-anaknya memohon supaya Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka supaya menentukan status agama B Raguram, yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
Rayuan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Februari ini.
Pada 10 November, Hakim Shahnaz Sulaiman memutuskan mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan sama ada Raguram beragama Islam ketika kematiannya.
Beliau memutuskan perkara itu jatuh secara eksklusif dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah Selangor. Katanya, akuan berkanun disahkan Raguram pada 2 Mac 2015 menunjukkan beliau telah memeluk Islam.
Permohonan difailkan pada September 2020 itu menamakan Mais, Mahkamah Tinggi Syariah, dan kerajaan negeri Selangor sebagai responden.
Keluarga itu memohon deklarasi bahawa Raguram beragama Hindu ketika kematiannya, seterusnya Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menentukan status agamanya.
Mereka turut memohon perintah melarang Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Mais menggali semula kubur Raguram.
Mahkamah Syariah pada 21 Mei 2020 telah memutuskan Raguram seorang Muslim ketika kematiannya seterusnya membenarkan perintah-perintah berkaitan.