
Tempat duduk baharu beberapa ADUN BN kini sebaris dengan tempat duduk blok pembangkang.
Antaranya membabitkan ADUN Lamag Bung Moktar Radin, ADUN Karambunai Yakub Khan dan ADUN Sukau, Jafry Ariffin.
Bagaimanapun, kebanyakan ADUN BN tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur seperti dimaklumkan Bung dalam kenyataannya, awal pagi tadi.
Turut tidak hadir semua ADUN Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut politik yang berlaku di negeri ini susulan ADUN BN menarik semula sokongan terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, kedudukan kerusi ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya dan ADUN Sugut, James Ratib, kekal di blok kerajaan.
Selain itu, kedudukan kerusi ADUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy juga dilihat masih di blok kerajaan.
Menurut Berita Harian, sidang khas DUN itu dipanggil untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah. Sebelum ini, ADUN BN dan Warisan yang tidak hadir sudah menyatakan sokongan mereka kepada RUU itu.
Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata RUU berkenaan mengandungi enam bahagian dan 43 fasal.
RUU itu kemudian diluluskan sebulat suara selepas dibahas empat ADUN iaitu Annuar Ayub (GRS-Liawan), Yong Teck Lee (GRS-dilantik), Ewon Benedick (PH-Kadamaian) dan Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin).