
Penduduk Scott Sentral berkata mereka bimbangkan keselamatan diri selepas kompleks itu mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan, lapan tahun lalu.
Mereka mendakwa kerosakan diakibatkan kerja pembinaan berkenaan, yang dimulakan semula pada 2021 oleh syarikat pemaju baharu selepas pelan asal pada 2015 dibatalkan.
Jurucakap penduduk, Chandra Ramprakash berkata, mereka menghantar surat bantahan kepada DBKL sejak 2015 selepas mendapat tahu mengenai projek berkenaan daripada notis disiarkan dalam iklan kecil.
“Bagaimanapun, kami tidak pernah mendapat sebarang maklum balas,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, papan tanda pada projek pembangunan itu didirikan pada 2016, seterusnya penduduk mendesak untuk mengadakan pertemuan dengan DBKL dan pihak pemaju. Namun, katanya tiada resolusi diperoleh hasil mesyuarat itu dan keadaan terus “diam” selepas itu.

Katanya, projek itu kemudian dibatalkan atas isu keselamatan sebelum dihidupkan semula pada 2021 oleh syarikat pemaju baharu.
FMT tidak mendedahkan nama syarikat dan projek itu buat masa ini, sehingga mendapat komen pihak berkenaan.
Chandra berkata pembinaan di projek itu mengakibatkan retakan di tembok tempat letak kereta Scott Sentral, malah beliau turut bimbang ia akan runtuh bila-bila masa.
“Kos untuk membinanya semula akan menelan belanja kira-kira setengah juta ringgit,” katanya.
Menurutnya, kerja pembinaan projek perumahan baharu itu turut mengakibatkan kerosakan paip di bawah bangunan mereka, malah kawasan itu pernah dinaiki air.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Maya berkata, nilai hartanah di Scott Sentral merudum sejak kerja-kerja di tapak pembinaan itu dimulakan.
Chandra berkata, penduduk mengharapkan DBKL akan menghentikan pembinaan itu kerana bukan saja merosakkan kediaman mereka, malah mampu mengakibatkan kesesakan jalan raya teruk sekiranya siap nanti.
Pengarah Perancangan Korporat DBKL, Zurida Hashim memberitahu FMT, projek itu tidak dihentikan kerana tiada perintah mahkamah, selain DBKL tidak perlu mengeluarkan arahan henti kerja kerana “kerja-kerja binaan itu mematuhi syarat ditetapkan di bawah kelulusan pelan kerja tanah.”
Beliau enggan mengulas dakwaan penduduk bahawa aduan mereka tidak diendahkan.
FMT telah berusaha mendapatkan maklum balas syarikat pemaju itu.