
“Tanpa pemikiran kritis itulah dia jadi, umpamanya, wala’…patuh saja,” kata Anwar dalam syarahannya di Jakarta, Indonesia, bersempena lawatan rasmi dua hari ke republik itu, bermula semalam.
Anwar berkata soal ekstremisme dan kefanatikan, serta memperalatkan agama ke arah terorisme dibincangkan dengan rakan sejawatnya, Presiden Joko Widodo, hari ini.
Menegaskan bahawa menilai dengan ilmu perlukan pemikiran kritis, Anwar juga berkata menerima sesuatu tanpa berfikir bukan dalam tradisi Islam.
“Mana mungkin belajar Islam tanpa pemikiran kritis. Mahu terima hadis pun kita kena pastikan sahih. Kalau sayeed Quran pun dipertikaikan – harus sebut ayat berapa, surah apa – tidak umpamanya menerima semberono tanpa sebarang kenyataan.”
Anwar berkata menilai sesuatu secara kritis jadi kemestian apabila ramai individu menggayakan diri sebagai ‘pakar’ dan gelaran.
“Semua orang boleh jadi ‘pakar’, semua boleh jadi ‘sheikh’, dan kemudian tidak ada usaha untuk menilai secara kritis. Itu bukan tradisi Islam,” katanya.
Perdana menteri berkata pemikiran kritis harus diterapkan dalam kalangan masyarakat, termasuk berkaitan agama.
“Jika tidak ilmu agama itu sendiri akan menjadi mendatar dan hambar,” katanya.
Indonesia pernah menyaksikan beberapa serangan maut melibatkan militan agama, termasuk oleh kumpulan yang dianggotai oleh rakyat Malaysia, Noordin Mohammad Top dan Azahari Husin.