Kecualikan hukuman mati buat 1,300 banduan akhir, kata Majlis Peguam

Kecualikan hukuman mati buat 1,300 banduan akhir, kata Majlis Peguam

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah berkata, banduan tidak sepatutnya dibiarkan menunggu lama di penjara tanpa mengetahui nasib mereka.

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah menggesa kerajaan bekerjasama dengan Lembaga Pengampunan bagi menentukan nasib 1,300 banduan akhir yang kini menunggu hukuman mati.
PUTRAJAYA:
Majlis Peguam menggesa kerajaan bekerjasama dengan Lembaga Pengampunan bagi memastikan lebih 1,300 banduan akhir yang sedang menunggu hukuman gantung juga dikecualikan daripada dikenakan hukuman mati.

Gesaan itu menyusul kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said bulan lalu bahawa Putrajaya akan meminda undang-undang yang membawa hukuman mati supaya hukuman alternatif boleh dilaksanakan.

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah berkata, banduan tidak sepatutnya dibiarkan menunggu lama di penjara tanpa mengetahui nasib mereka.

Ketika ini, terdapat penangguhan ke atas pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan akhir.

“Layanan terhadap banduan yang menanti hukuman mati ini adalah tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya pada majlis pembukaan tahun perundangan 2023.

Cheah berkata, Malaysia perlu beralih daripada membunuh manusia atas nama keadilan, seiring negara berkembang dari segi demokrasi.

Katanya, banduan berhak mendapat perlindungan asas.

“Atas sebab itu, kami menyambut baik pengumuman hukuman mati mandatori untuk 11 kesalahan dimansuhkan.”

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, pindaan terhadap undang-undang keseksaan itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Cheah berkata, hukuman mati adalah kejam dan melanggar hak untuk hidup bebas daripada penyeksaan, oleh itu hukuman sepatutnya fokus kepada pemulihan.

Dalam perkembangan berasingan, Cheah berkata, setakat November tahun lalu, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) membantu 222,361 rakyat Malaysia.

YBGK ditubuhkan pada 2012 dengan bantuan kerajaan yang memperuntukkan dana RM5 juta untuk memulakan program itu. Menerusi program itu, peguam membantu individu miskin dan memerlukan dengan mewakili mereka dalam kes melibatkan penahanan, reman, rundingan dan jaminan, perbicaraan serts rayuan.

Cheah berkata, akses kepada keadilan adalah ciri kehadiran kukuh kedaulatan undang-undang di negara ini.

“Oleh itu, Majlis Peguam berusaha untuk terus membantu menyediakan akses kepada keadilan ini dengan memastikan ahli kami terus membantu rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan akses kepada keadilan tetap kukuh dan wujud.

“Kami menggesa sumber mencukupi disediakan untuk program ini terus berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.