
Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memberi keutamaan kepada pengeluar tempatan dengan menghapuskan kawalan harga terhadap telur kerana mereka mengalami kerugian akibat kos pengeluaran tinggi.
Katanya, golongan kumpulan B40 juga patut diberikan “elaun telur secara top up” untuk menanggung bebanan kewangan.
“Telur tempatan hanya boleh dijual 41 sen sebiji kerana ada kawalan harga. Penternak tempatan rugi kerana kos mereka melebihi harga kawalan telur.
“Saya rasa pelik pula kalau telur import dari India dijual 50 sen sebiji. Apa kata harga kawalan diubah?” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menggesa supaya keutamaan diberikan kepada pengeluar tempatan.
“Tak payah import telur dari India jika bekalan mencukupi.
“Kan kementerian Abang Mat turut menjaga keterjaminan makanan? Fikir-fikirkanlah Abang Mat!” katanya.
Kenyataannya itu susulan lawatan Mohamad ke India pada hujung minggu lalu bagi melihat proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia. Beliau ketika itu dilaporkan menyuarakan keyakinan bahawa telur dihasilkan di India selamat untuk dimakan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Wee mempertikai kesegaran telur dari India yang pasti mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Malaysia menaiki kapal.