Beri moratorium, subsidi tangani kenaikan harga di kantin sekolah, kata Wan Saiful

Beri moratorium, subsidi tangani kenaikan harga di kantin sekolah, kata Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata ibu bapa juga mengeluh dengan isu kenaikan tambang bas sekolah yang belum selesai.

Harga makanan di kantin sekolah dilaporkan meningkat sehingga 50% pada sesi pembukaan sekolah bermula Selasa lalu susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Bersatu menggesa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mencari formula bagi menangani isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata antara perkara boleh dipertimbangkang ialah memberikan moratorium sewa atau subsidi kos operasi kepada pengusaha kantin yang kebanyakannya usahawan kecil Bumiputera.

“Sepatutnya menteri pendidikan PH-BN ini segera bertemu pengusaha kantin untuk membincangkan penyelesaian dan mencapai kata sepakat.

“Sebagai kerajaan, bantulah rakyat. Bukan sibuk berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful yang juga ketua penerangan Bersatu berkata, berdasarkan pertemuannya bersama ibu bapa di sekitar kawasan Tasek Gelugor sejak dua hari lalu, ramai mengeluh bukan saja mengenai harga makanan di sekolah, malah isu kenaikan tambang bas sekolah yang belum selesai.

“Rungutan ibu bapa dah kedengaran sejak bermula sesi persekolahan 2023 lagi, tetapi sehingga hari ini, belum ada apa-apa kenyataan daripada menteri bertanggungjawab. Ini sekali lagi bukti bahawa menteri PH-BN tidak kompeten menjaga nasib rakyat dan menteri golongan kayangan ini gagal merasai denyut nadi kesusahan rakyat.

“Saya sedang mendapatkan komen lebih mendalam ibu bapa mengenai harga makanan kantin sekolah-sekolah di Tasek Gelugor,” katanya.

Sebelum ini FMT melaporkan harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50% pada sesi pembukaan sekolah yang bermula Selasa lalu, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah, berkata peningkatan harga itu bagi menampung kos operasi semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.