
Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir untuk melepas tanpa membebaskan Ng sementara menunggu proses hukuman di Mahkamah Eastern District of New York selesai.
“Mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu memandangkan Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa mereka masih berminat untuk meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Zaki Asyraf berkata perbicaraan kes jenayah yang dihadapi Ng di mahkamah Amerika Syarikat (AS) sudah selesai dan proses hukuman yang sepatutnya dijalankan pada Disember tahun lepas ditangguh kepada Februari ini.
“Pihak pendakwaan masih berminat untuk meneruskan kes ini pada masa akan datang, cuma buat masa ini bagi mengelak pihak-pihak membuang masa, pendakwaan mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sehingga semua proses perundangan (di AS) selesai,” katanya.
Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ng, pula memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memandangkan kes itu sudah terlalu lama.
Pada 8 April tahun lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.
Pada 19 Disember 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.
Pada 4 September 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion.