
JOHOR BAHRU Pakatan Harapan (PH) masih berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan tiada lagi perbincangan berhubung bentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di negeri itu setakat ini.
Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub, bagaimanapun berkata, hubungan antara kedua-dua parti itu sangat baik atas semangat perpaduan.
“Setakat ini, ketika saya meninggalkan DUN semasa Menteri Besar (Onn Hafiz Ghazi) membuat penggulungan Belanjawan 2023 pada Persidangan DUN Johor (Disember tahun lepas), kami masih duduk di barisan pembangkang.
“Belum ada apa-apa keputusan di Johor, tetapi antara kami semua faham bahawa semangat perpaduan kerajaan sangat mendasari
“Hubungan juga sangat baik, cuma kita tidak dapat tentukan lagi bentuk kerjasama pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen Pulai di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hubungan dan bentuk kerjasama PH dan BN di Johor.
Pada PRN Johor pada Mac tahun lepas, BN meraih kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
PH memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), selain PKR dan Muda masing-masing satu kerusi.
Sementara itu, merujuk kepada kaukus melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH Johor, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menjelaskan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan.
“Mengenai kaukus, masih dalam perbincangan dan Ketua Pembangkang Andrew Chen Kah Eng (yang menggantikan Liew Chin Tong) sedang mengusahakannya,” katanya.
Pada 4 Dis tahun lepas, dilaporkan Liew yang ketika itu ketua pembangkang, ketika membahaskan Belanjawan 2023 mencadangkan kepada Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad bahawa satu Kaukus Ahli-Ahli Parlimen Johor ditubuhkan, melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH.
Hasni kemudian dilaporkan berkata, penubuhan kaukus itu mampu memacu pembangunan Johor untuk menjadi sebuah negeri yang maju.
Pada 11 Dis tahun lepas, Onn Hafiz dilaporkan berkata, beliau berharap kaukus itu akan memperjuangkan projek keutamaan rakyat negeri itu yang melibatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan.