
Beliau berkata, kemampuannya mengetuai kementerian berkenaan dipersoalkan disebabkan faktor umur dan jantinanya.
“Yang penting bukan saya jadi atlet, saya bukan personaliti untuk menang pingat, tapi saya perlu wujudkan infra dan penyelarasan di peringkat kerajaan untuk bantu atlet dan (kelompok) yang nak bersukan,” katanya dalam wawancara sebuah program Astro Arena.
Yeoh berkata, tiada guna memiliki kemampuan atlet, tetapi dasar yang dikemukakannya tidak berkesan.
Katanya, beliau sudah menemui dua bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Khairy Jamaluddin bagi mendengar pengalaman mereka ketika memegang jawatan itu.
“Saya nak tahu apa rasa kesal mereka dalam zaman mereka jadi menteri, apa yang mereka tidak berjaya lakukan dan apa yang saya boleh elakkan?
“Saya percaya kalau kita belajar daripada kesilapan orang lain, kita boleh pastikan kita tak bazir masa untuk harungi benda yang sama,” katanya.
Beliau berkata, Khairy dan Syed Saddiq masih muda serta mempunyai banyak idea bagi membangunkan sukan di negara ini.
Khairy dilantik menteri belia dan sukan bermula 2013 hingga 2018, manakala Syed Saddiq menggantikannya ketika Pakatan Harapan memerintah bermula 2018 hingga 2020.