Keselamatan paling penting di semua perlumbaan bermotor, penganjur diberitahu

Keselamatan paling penting di semua perlumbaan bermotor, penganjur diberitahu

Penganjur diingatkan agar bekerjasama dengan MAM untuk menjamin keselamatan pelumba dan selain pelumba pada acara perlumbaan.

Tangkap layar video kejadian di mana sebuah kereta lumba terbabas dari landasan dan melanggar seorang penonton di Litar Dato’ Sagor di Pasir Salak pada 31 Dis. (Gambar FB)
PETALING JAYA:
Penganjur acara perlumbaan telah diberitahu untuk bekerjasama dengan badan sukan permotoran utama negara bagi memastikan keselamatan perlumbaan susulan kemalangan maut di sebuah litar di Perak hujung minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang Azhan Shafriman Hanif mengingatkan penganjur acara dan pengendali trek bahawa mereka bertanggungjawab ke atas keselamatan trek perlumbaan.

“Dengan bantuan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) untuk memberikan nasihat mengenai keselamatan dan prosedur trek, saya pasti insiden seperti ini dapat dielakkan,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk kepada kematian seorang penonton pada perlumbaan di Litar Dato Sagor di Pasir Salak selepas dia dirempuh sebuah kereta lumba yang terbabas keluar dari landasan ke arah kawasan berumput, di mana mangsa dan beberapa penonton lain sedang berdiri.

Lelaki berusia 32 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan dada.

Azhan berkata, penganjur sepatutnya mengambil iktibar daripada kejadian tidak diingini yang berlaku sebelum ini apabila langkah keselamatan diabaikan.

MAM ialah badan yang bertanggungjawab membenarkan acara sukan permotoran di negara ini. Penganjur acara di Pasir Salak itu dipercayai tidak mendapatkan kelulusan MAM bagi perlumbaan itu.

Syamsul Razmin, yang menganjurkan perlumbaan, juga berkata MAM boleh membantu memastikan keselamatan perlumbaan untuk pemandu dan penonton.

“Mesti ada penghalang yang mencukupi untuk melindungi pelumba juga selain pelumba,” kata Syamsul, yang kerap menganjurkan acara perlumbaan go-kart.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa kerana beberapa trek perlumbaan di negara ini tidak rata dan keadaan ini boleh menyumbang kepada kemalangan.

Sementara itu bekas pelumba Grand Prix Shahrol Yuzy berkata, “litar terbuka” yang dengan mudah “dicerobohi” orang luar adalah tidak selamat.

Katanya, hanya mereka yang mempunyai kebenaran untuk memasuki kawasan perlumbaan patut dibenarkan berbuat demikian.

“Penganjur juga mesti tegas dan pastikan mereka mampu menghalang penonton daripada menceroboh kawasan perlumbaan,” katanya kepada FMT.

MAM enggan mengulas sementara menunggu selesainya siasatan Kementerian Belia dan Sukan berhubung kemalangan di Pasir Salak pada 31 Dis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.