
Beliau membuat pengumuman itu dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBRS di Kota Kinabalu hari ini, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli parti yang kekal setia serta konsisten berjuang bersama parti.
Beliau digantikan anaknya, Arthur, 40, yang juga timbalan presiden PBRS merangkap Ahli Parlimen Pensiangan.
“AMT telah meluluskan usul untuk melantik Joseph sebagai pengerusi kehormat PBRS berkuat kuasa serta-merta,” kata Ketua Penerangan PBRS, Fredie Sua dalam kenyataan.
Joseph menubuhkan PBRS pada Mac 1994, selepas berpisah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS). Sejak itu, PBRS menjadi parti komponen Barisan Nasional.
Veteran politik berusia 78 tahun itu pernah memegang beberapa jawatan di peringkat negeri dan persekutuan sepanjang berkecimpung dalam dunia politik lebih empat dekad.
Antaranya, Joseph dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah dari 1986 hingga 1990 dan 1994 hingga 1999, selain menteri di Jabatan Perdana Menteri antara 2013 hingga 2018.
Beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum 2018 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pensiangan, sebaliknya memberi laluan kepada Arthur menjadi calon.