
Laman Instagram penyanyi itu dibanjiri komen tidak senonoh dan rasis oleh penyokong Harimau Malaya yang tidak berpeluang menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Thailand pada separuh akhir Piala AFF di stadium esok.
Menerusi platform media sosialnya, Chou berkata dia hanya mahu membuat persembahan untuk peminatnya di Malaysia.
“Kepada peminat bola sepak Malaysia, saya tahu anda semua serius terhadap bola sepak anda.
“Saya tidak ada masalah untuk memberi kerjasama dan menangguhkan konsert, tetapi fokusnya ialah anda semua harus bertanya kepada persatuan bola sepak atau penganjur tempat,” katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelaskan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan berikutan kerja pemasangan struktur pentas konsert Chou yang berskala antarabangsa.
Yeoh dilaporkan berkata, pemasangan struktur pentas di lokasi konsert itu ditempah awal pihak penganjur sejak Mac 2019 dan dan mustahil untuk mengubah situasi berkenaan memandangkan ia turut melibatkan jumlah kru yang ramai.