
Anwar secara berseloroh berkata langkah didakwa itu menelan kos yang banyak.
“Langkah London itu jauh sangat. Murah lagi buat di Langkah Kajang,” katanya kepada media di Masjid Bukit Aman.
Anwar sebelum itu ditanya mengenai dakwaan “gerakan sulit” yang cuba digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Langkah Kajang yang dimaksudkan Anwar adalah krisis politik Selangor pada 2013, membabitkan menteri besar ketika itu, Abdul Khalid Ibrahim.
Ia membawa kepada pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada 2014 dan pemilihan PKR pada tahun sama. Secara umumnya, PKR mahu menukar Khalid dengan calon lain.
Sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua naib presiden Umno yang terbabit dalam usaha menjatuhkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelang perhimpunan agung parti itu minggu depan.
Ia susulan dakwaan seorang penulis blog bahawa dua naib presiden Umno mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai presiden.
Menurut dakwaan itu, gerakan sulit yang dinamakan “Langkah London” bertujuan menjatuhkan Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui pemimpin politik di London.
Semalam, Zahid enggan mengulas mengenai khabar angin berhubung “Langkah London” dan turut menegaskan dakwaan itu adalah khabar angin dan beliau tidak akan membuat keputusan berdasarkan kepada khabar angin.