
Menurut notis rayuan dilihat FMT, ia difailkan pada 22 Dis.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan perkara itu.
Bawah Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), akan dikehendaki memfailkan memorandum rayuan dalam tempoh 90 hari mulai hari ini. Ketika ini ia sedang menunggu alasan penghakiman.
Ian Chin, yang memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Februari 2022, memohon beberapa pengisytiharan.
Chin, yang bersara pada 2008, berkata saman itu turut meliputi hakim bersara lain yang pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, serta tanggungan mereka.
Chin, yang berkhidmat selama 201 bulan sebagai pesuruhjaya kehakiman dan hakim Mahkamah Tinggi, mendakwa pencen yang dibayar kepadanya sebelum 2015 diubah oleh defendan.
Pada 9 Dis, Hakim Leonard David Shim mengisytiharkan Akta Saraan Hakim 2014 yang dipinda tidak sah dan tidak konsisten dengan Perkara 125(7) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berpendirian peruntukan dalam perlembagaan yang memperuntukkan imbuhan dan terma lain jawatan, termasuk hak pencen hakim, tidak boleh diubah kepada merugikan mereka selepas pelantikan.
Shim turut memutuskan kerajaan melanggar Perkara 125(7) Perlembagaan Persekutuan dengan gagal membayar pencen bulanan yang perlu dibayar kepada Chin mengikut formula tertentu.
Beliau memerintahkan supaya Chin diberi pampasan RM301,768.60, iaitu kekurangan dalam pencen yang dibayar kepadanya antara Julai 2016 dan Februari 2022. Jumlah itu termasuk faedah 5%.
Mahkamah turut membatalkan kenaikan tahunan 2% ke atas pencen yang dibayar kepada semua hakim bersara, tidak kira sama ada mereka bersara sebelum atau selepas 2015.
Isu itu timbul apabila kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 untuk hakim, memberikan pencen yang lebih tinggi ditambah kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan.
Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama, ditambah kenaikan tahunan 2%.