
Ini selepas Putrajaya mengesahkan Fawad dihantar pulang pada Ogos lalu atas arahan kerajaan Pakistan.
Dalam surat kepada Anwar, peguam P Waytha Moorthy mendakwa kerajaan Pakistan tidak jujur dengan memberikan alasan Fawad seorang pegawai polis yang mempunyai masalah “disiplin” sedangkan isterinya iaitu Syeda menafikan suaminya pernah menjadi pegawai polis.
Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan alasan itu diberikan Islamabad dalam meminta Fawad dihantar pulang.
Waytha berkata pada 2020, Pakistan cuba meletakkan Fawad dalam senarai notis merah Interpol namun ditolak agensi terbabit kerana ia tidak mempunyai asas undang-undang.
“Bagaimanapun pihak berkuasa Pakistan nampaknya berjaya memperdayakan kerajaan Malaysia pada Ogos 2022 untuk mempercayai bahawa Fawad dikehendaki kerana kesalahan tatatertib semasa dia menjadi ‘pegawai polis’,” katanya dalam suratnya.
“Sehingga kini, kerajaan Pakistan tidak mengesahkan sama ada Fawad berada dalam tahanan mereka dan apakah pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Apa yang jelas Fawad nampaknya sudah hilang,” tulis Waytha.
Beliau menggesa Anwar meminta Pakistan memastikan Fawad dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan atau dihantar semula ke Malaysia bagi bersama keluarganya selaku pelarian bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Fawad, 41, pemegang kad UNHCR mendapatkan suaka politik di Malaysia dan beliau mendakwa dianiaya di Pakistan berhubung artikel tulisannya berhubung dakwaan rasuah berlaku dalam kerajaan negara itu.
Beliau dilaporkan hilang sejak 23 Ogos tahun lalu.