Varian utama Covid-19 China mungkin tak bawa ancaman, kata pakar virologi

Varian utama Covid-19 China mungkin tak bawa ancaman, kata pakar virologi

Oleh sebab BA.5.2 dan BF.7 bukan baru tiba di Malaysia, kemungkinan untuk subvarian tersebut menjadi ancaman pada masa ini dijangka rendah.

Segelintir warganet menggesa kerajaan menutup sempadan negara kepada pengembara dari China. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tidak perlu untuk panik mengenai keputusan kerajaan mengekalkan sempadan Malaysia buka di tengah-tengah kebimbangan berhubung lonjakan kes Covid-19 di China, kata pakar virologi.

Kumitaa Theva Das daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dua subvarian utama Covid-19, BA.5.2 dan BF.7, yang merangkumi hampir 80% daripada varian yang dikesan di China pada masa ini, bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia.

Katanya, “besar kemungkinan” kebanyakan rakyat Malaysia telah membina imuniti terhadap BA.5.2, yang pertama kali dikesan di negara ini sekitar Mac 2022.

Sementara itu, BF.7 mula dikesan di Malaysia sekitar Ogos dan September tahun lepas di Selangor, Pahang dan Melaka.

Kumitaa Theva Das.

“Memandangkan kita tidak lihat peningkatan pesat kes pada ketika itu, kemungkinan untuk subvarian sama menjadi ancaman pada masa ini adalah rendah,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, oleh sebab jangkitan BF.7 telah dilaporkan di lebih 90 negara, pembukaan semula China tidak sepatutnya berbeza.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dipetik Bernama sebagai berkata, setakat 31 Dis, terdapat 4,148 kes jangkitan BA.5.2 dan tiga kes BF.7 di negara ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tiada data untuk mengaitkan kes serius atau kematian kepada kedua-dua subvarian itu.

Walaupun begitu, segelintir warganet menggesa kerajaan menutup sempadan negara kepada pengembara dari China.

“Bila Malaysia ni nak belajar dari kesilapan? (Harap) tutup sempadan untuk pelawat dari China,” kata pengguna Twitter @norazambudin

Seorang lagi pengguna Twitter bertanya sama ada kerajaan “menunggu rakyat Malaysia mati” dan varian itu tersebar luas di dalam negara sebelum memutuskan untuk menutup sempadan.

Vinod Balasubramaniam.

Pakar virologi Universiti Monash Vinod Balasubramaniam turut mempertahankan keputusan kerajaan untuk mengekalkan sempadan Malaysia terbuka, dengan berkata virus itu akan dapat memasuki negara melalui cara lain, pada ketika perjalanan udara di seluruh dunia dilonggarkan.

Vinod berkata, walaupun ketakutan yang dirasai orang awam dan pegawai kesihatan boleh difahami, tiada bukti yang menunjukkan bahawa subvarian BF.7 jauh lebih membawa maut berbanding strain Delta sebelumnya.

Beliau berkata, penutupan sempadan Malaysia hanya akan dilakukan dalam situasi khas, seperti pengesanan varian baharu yang kebal terhadap vaksin sedia ada atau jangkitan semula jadi, dengan kadar kematian tinggi yang boleh melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.