
Beliau berkata, penetapan sasaran baharu itu susulan kejayaan agensi berkenaan tahun lepas yang mencapai sehingga 70% bagi program pemulihan penagih.
“Tahun lepas, seramai 70% penagih dadah yang menjalani program pemulihan di AADK didapati telah berjaya membuang tabiat berkenaan secara kekal dan tidak kembali menagih dadah dan bagi tahun ini saya meletakkan sasaran kepada 75% bagi setiap 100 individu yang menjalani proses pemulihan dadah.
“Program pemulihan AADK merupakan satu kejayaan berdasarkan peratusan penagih dadah yang berjaya dipulihkan berbanding standard antarabangsa pada 35% hingga 50%,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan rasmi di ibu pejabat AADK.
Beliau berkata, AADK yang mempunyai data lengkap mengenai program berkenaan perlu melakukan analisis bagi membangunkan satu model jangkaan untuk meningkatkan lagi peratusan kejayaan program pemulihannya.
Seramai 130,000 penagih dadah dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu dan kira-kira 36,000 menjalani program pemulihan di pusat pemulihan AADK.
Sementara itu, mengulas perkembangan 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditugaskan bagi membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) di lima sempadan negara bermula tahun ini, Saifuddin berkata penempatan anggota berkenaan akan dilakukan secara berperingkat.
Beliau berkata, anggota Rela yang ditugaskan di sempadan negara juga akan dibekalkan dengan senjata api sekiranya perlu dan harus disimpan di stor senjata api selepas tamat waktu bekerja selain tidak dibenarkan dibawa pulang.
Pada 15 Dis lepas, Saifuddin dilapor berkata 500 anggota Rela itu akan ditempatkan di lima sempadan melibatkan pintu masuk di Sabah, Sarawak, Selangor, Kelantan dan Perlis.