Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata penetapan itu akan berkuatkuasa pada 8 Jan ini selepas diputuskan oleh Jemaah Menteri Negeri Sabah yang bermesyuarat semalam.

Masidi Manjun berkata pengembara dari China perlu menunjukkan ujian Covid-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan negeri Sabah semalam menetapkan pengembara yang berlepas dari China perlu lengkap vaksinasi Covid-19 mengikut kriteria negara asal masing-masing sebelum memasuki negeri ini, berkuatkuasa 8 Jan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata pengembara berkenaan juga perlu menunjukkan ujian Covid-19 (RT-PCR atau RTK Ag Professional) dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

“Perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang bermesyuarat hari ini (semalam),” kata jurucakap Covid-19 kerajaan Sabah itu menerusi kenyataan malam tadi.

Masidi berkata kerajaan negeri juga menetapkan semua pengembara dari luar negara yang tiba di Sabah dikehendaki menjalani saringan suhu dan pengembara dikesan mempunyai simptom demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Pengembara yang mempunyai gejala Covid-19 wajib menjalani ujian RTK Antigen Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 12 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah semalam manakala 138 pesakit masih menerima rawatan dengan 10 daripadanya memerlukan penjagaan kritikal dan 23 pesakit telah pulih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.