
Hakim Azhar Abdul Hamid berkata, tuduhan terhadap Shamsudin Ishak, 48, mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) bukanlah kesalahan melibatkan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).
Beliau membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan Shamsudin menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan. Shamsudin turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Shamsudin didakwa menyediakan visa palsu di bawah program Malaysia Rumah Keduaku untuk warga Vanuatu, Li Xing Qiang.
Shamsudin yang diwakili peguam T Harpal Singh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat imigresen Putrajaya pada Jun tahun lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 26 Atipsom itu diklasifikasikan sebagai pemerdagangan manusia.
Sementara itu, Junaina Taat, 46, yang didakwa bersubahat dengan Shamsudin, turut dibenarkan jaminan hari ini dengan syarat-syarat sama. Junaina diwakili peguam bela Amirrul Jamaluddin.
Shamsuddin dan Junaina ditahan pada September sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen pada bulan berikutnya mengikut Sosma.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Anak Mawan dan Nadia Izahar.
Sementara itu, Harpal memberitahu FMT bahawa Azhar menetapkan pengurusan kes pada 17 Mac depan.