
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Nallini Pathmanathan berkata, perkara itu telah menjadi akademik kerana diatasi oleh perkara-perkara yang berlaku,.
“Pilihan raya umum ke-15 telah selesai dengan kerajaan baharu ditubuhkan dan Parlimen telah bersidang,” katanya ketika membenarkan bantahan awal oleh kerajaan, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terdahulu, tiga responden berhujah bahawa permohonan tidak sepatutnya diberikan kerana perkara itu bukan lagi isu langsung dan telah menjadi akademik.
Nallini, yang turut bersidang dengan Hakim Vernon Ong dan Mary Lim, turut menyatakan bahawa bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan peguam Syed Iskandar Syed Jaafar telah meminta pihak panel untuk mengeluarkan pengisytiharan prospektif sebagai jawapan kepada persoalan undang-undang yang dikemukakan.
Menolak permintaan itu, Nallini berkata, “Mahkamah tidak boleh memberikan pengisytiharan sedemikian kerana fakta dalam kes ini tidak boleh dipisahkan daripada undang-undang.”
Nallini berkata kedua-dua pemohon telah mempersoalkan sama ada permohonan sebelah pihak untuk Agong membubarkan Dewan Rakyat, yang dibuat oleh Ismail tanpa nasihat Jemaah Menteri, melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata soalan lain yang dikemukakan ialah sama ada perkara rayuan itu wajar, iaitu sama ada ia boleh dicabar di mahkamah.
Nallini juga menyatakan bahawa peguam pemohon telah berhujah, isu itu adalah kepentingan awam kerana persoalan yang sama mungkin timbul apabila Parlimen dibubarkan pada masa hadapan.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua saman itu tidak boleh dipertahankan kerana proses pilihan raya telah selesai dan kehendak rakyat dimaklumkan.
Responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly, Liew Horng Bin, Low Wen Zhen, dan peguam Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hafarizam Harun.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan A Surendra Ananth mewakili Santiago, manakala Gopal Sri Ram dan R Kengadharan mewakili Syed Iskandar.
Pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Okt menyebabkan SPR mengadakan pilihan raya dan menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian.
Pada 24 Nov, Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Anwar kemudiannya membentuk kerajaan perpaduan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti serantau dari Sabah dan Sarawak.
Saman Santiago dan Syed Iskandar telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Okt tahun lepas.
Pada 15 Nov, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Ketika menyampaikan penghakiman, Hakim Azizah Nawawi berkata sebarang perintah untuk menghalang atau melarang SPR menjalankan pengundian dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat adalah tidak boleh dipertahankan di sisi undang-undang.