
Rafizi berkata, 2023 ialah tahun yang penting, kerana sudah tiba masanya untuk semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) serta tahun pertama bagi kerajaan perpaduan baharu.
Dalam ucapan kepada pegawai kementerian pagi ini, beliau berkata, cabaran pertama mereka adalah untuk mengukuhkan keupayaan fiskal negara.
“Ini merujuk kepada bagaimana kita boleh memastikan pendapatan kerajaan boleh dioptimumkan, bukan sahaja untuk penyampaian perkhidmatan harian kepada rakyat tetapi juga untuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan sektor, projek dan kecekapan yang sebahagian besarnya akan memberi impak kepada rakyat,” katanya.
Cabaran kedua adalah meningkatkan hasil negara, yang berkaitan dengan cabaran pertama kerana kedua-dua pendapatan dan perbelanjaan terlibat.
Beliau berkata, kementerian mempunyai pengaruh besar ke atas perbelanjaan negara kerana ia mengendalikan perbelanjaan sumber kerajaan untuk pembangunan.
“Kita merancang, mengawal selia dan mempunyai pengaruh untuk memastikan sumber kewangan negara dilaburkan dalam sektor yang berpotensi tinggi, untuk kesan berganda pada masa akan datang,” katanya sambil menambah, peranan itu dikongsi bersama Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan perbelanjaan mengurus negara.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia telah berkembang pada kadar yang dirancang tetapi tidak menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung tahap perkhidmatan yang diperlukan pada masa ini.
Rafizi berkata, cabaran ketiga melibatkan penstrukturan semula ekonomi.
“Mereka dalam industri tenaga sering bercakap tentang ‘trilema tenaga’. Begitu juga untuk ekonomi negara, kita juga mempunyai ‘trilema’ (cabaran),” katanya.
Rafizi meminta pegawai kementerian memberinya peluang untuk mencuba pendekatan yang berbeza, walaupun kadangkala mungkin “tidak masuk akal” bagi mereka.
“Melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza adalah (suatu) kegilaan,” katanya.
“Perkara yang rumit memerlukan banyak penyelesaian yang berbeza untuk dipertimbangkan.”
Jika kementerian mempunyai sumber katanya, beliau lebih suka ia digunakan untuk meningkatkan kemahiran penjawat awam di kementerian, berbanding melantik perunding luar.
Rafizi berkata, beliau tidak berhasrat untuk menjadi “ahli politik” dalam kementerian, tetapi untuk “menjalankan tugas”.
“Anda tahu saya kadang-kadang boleh mencetuskan kontroversi, tetapi apa yang perlu dikatakan dan dilakukan, perlu dikatakan dan dilakukan.
“Sama ada orang lain marah atau mengkritik saya, bukan isunya,” katanya.