Ismail peroleh perintah injunksi dalam saman fitnah Lokman Adam

Ismail peroleh perintah injunksi dalam saman fitnah Lokman Adam

Mahkamah Tinggi membenarkan keputusan itu selepas peguam kedua-dua pihak merekodkan persetujuan berhubung perintah itu yang berkuat kuasa sehingga kes itu dilupuskan.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Sept tahun lalu memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman Adam dengan serta-merta memadamkan semua video yang didakwa memfitnah beliau media sosial.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi oleh bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kes saman fitnah beliau terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas peguam kedua-dua pihak merekodkan persetujuan berhubung perintah itu yang berkuat kuasa sehingga kes tersebut dilupuskan.

“Perintah persetujuan direkodkan seperti (dalam) terma-terma dan draf. Mahkamah menetapkan 6 Mac ini untuk pengurusan kes,” katanya.

Terdahulu, peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan perintah injunksi inter-parte itu dan perkara tersebut disahkan oleh peguam Mohd Faiz Abd Rahim yang mewakili Lokman.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam enggan mendedahkan terma yang dinyatakan dalam draf persetujuan kepada pemberita.

Pada 12 Sept tahun lepas, Ismail memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan semua video yang didakwa memfitnah beliau di akaun media sosial.

Pada 8 Sept tahun lepas, Ismail, 62, yang juga Ahli Parlimen Bera selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi beliau dan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail mendakwa Lokman pada 22 Ogos tahun lepas telah membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam video bertajuk ‘Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam.’

Beliau berkata kenyataan itu yang berniat jahat, berunsur fitnah dan tidak benar telah dimuat naik di empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam,’ Facebook ‘Lokman Noor Adam Official,’ Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam.’

Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud beliau telah berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti politik lain yang bertentangan dengan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.