Bebas tuduhan, nama saya, Umno dan Johor Bahru dah bersih, kata Shahrir

Bebas tuduhan, nama saya, Umno dan Johor Bahru dah bersih, kata Shahrir

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kes ini memberikan gambaran buruk mengenai dirinya sebagai pemimpin yang terbabit rasuah dan tidak berintegriti.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Shahrir atas tuduhan gagal mengisytiharkan kepada LHDN wang RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad berkata, kini namanya, Umno dan Johor Bahru telah bersih susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1 juta.

Namun Shahrir, yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau masih bersedih kerana kes ini memberikan gambaran buruk mengenai dirinya.

“Sepatutnya saya gembira atas pembebasan ini tetapi saya sedih, sebab kes ini telah memberi gambaran kepada rakyat bahawa saya seorang Ahli Parlimen dan pemimpin Umno yang (terbabit dengan) rasuah serta tidak berintegriti.

“Sedangkan, saya buat kerja dengan ikhlas, malah saya sudah maklumkan kepada pihak berkuasa kenapa saya ambil wang itu dan mengapa saya minta tolong daripada Najib,” katanya, lapor Sinar Harian.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Shahrir atas tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Jamil Hussin mengeluarkan perintah tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memberitahu mahkamah pihaknya tidak mahu meneruskan kes itu.

Shahrir berkata, pihak pendakwaan sendiri yang tidak berhasrat untuk meneruskan kes, bukan atas permintaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.