TalentCorp hanya ‘beri baju hujan’, kerajaan perlu perkasa peranan, kata majikan

TalentCorp hanya ‘beri baju hujan’, kerajaan perlu perkasa peranan, kata majikan

TalentCorp seharusnya berfungsi sebagai jabatan yang mengenal pasti serta menawarkan 'kediaman tetap' secara proaktif kepada bakat tempatan di luar negara.

Tidak adil hanya menuding jari kepada TalentCorp dalam kegagalan mengekalkan bakat tempatan dalam negara, kata kumpulan majikan. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Kumpulan majikan berpendapat, TalentCorp hanya berfungsi membantu mengenal pasti bakat tempatan di luar negara dan menarik minat mereka untuk kembali bekerja di negara ini, sebaliknya segala keputusan terakhir tertakluk di tangan kerajaan.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Christina Tee mengibaratkan keadaan seseorang meninggalkan rumah kerana bumbung bocor, tetapi kerajaan enggan membaiki kebocoran itu, sebaliknya TalentCorp cuma dibenar memberikan baju hujan.

“Saringan dilakukan TalentCorp terhadap bakat tempatan di luar negara, namun Kementerian Dalam Negeri adalah agensi utama dalam memutuskan sama ada ingin memberikan visa semula kepada mereka yang telah pun melepaskan kerakyatan Malaysia sebelum itu.

“Contohnya, seorang wanita rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi ingin kembali ke negara bersama suami dan anaknya yang merupakan warga asing. Adakah anda dapat memikat bakat itu (kembali ke sini) jika kita melayan ahli keluarganya sebagai warga asing?” katanya kepada FMT.

Tambahnya, TalentCorp seharusnya berfungsi sebagai sebuah jabatan, khususnya dalam mengenal pasti serta secara proaktif menawarkan “kediaman tetap” kepada bakat asing yang telah menyumbang kepada negara.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata, tidak adil hanya menuding jari kepada TalentCorp dalam kegagalan mengekalkan bakat tempatan di negara ini.

“Bukan mudah untuk menarik pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi pulang ke Malaysia. Isu utama bukanlah hanya membawa mereka pulang, tetapi lebih kepada meningkatkan motivasi mereka untuk kekal bekerja di Malaysia.

“Ini terpulang kepada kerajaan untuk memperkasakan program bersesuaian bagi menggalakkan mereka terus bekerja di Malaysia serta memberi mereka peluang dalam memajukan kerjaya mereka.”

Beliau berkata, lebih banyak penambahbaikan harus dilakukan kerajaan untuk membantu TalentCorp.

“Satu rangka kerja lebih komprehensif dan menyeluruh diperlukan untuk memastikan bakat-bakat dibawa pulang diberi peralatan mencukupi serta suasana kerja yang membolehkan mereka bekerja dengan baik dan menyumbang ke arah pembangunan negara.”

Talent Corp ditubuhkan pada 2011 di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi menarik bakat tempatan berkemahiran tinggi di luar negara untuk kembali bekerja di Malaysia.

Baru-baru ini, ada pihak mencadangkan kerajaan mengkaji dan menambah baik sistem sedia ada, selain mengurangkan kesan penghijrahan tenaga mahir tempatan ke luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.