
Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar berkata, sebarang sekatan atau halangan bagi jawatan tertinggi dipertandingkan hanya akan menafikan suara dan kemahuan perwakilan akar umbi dalam memilih pemimpin yang diyakini mampu memulihkan imej parti itu.
“Membenarkan jawatan presiden atau timbalan presiden dipertandingkan bukan bermakna sudah ada pemimpin yang akan mencabar pemegang jawatan sedia ada. Mungkin juga tiada yang ingin mencabar dan ianya hanya bersifat spekulasi.
“Kalau mungkin ada yang ingin bertanding, ini peluang baik kepada presiden untuk membuktikan beliau mempunyai keabsahan dan sokongan majoriti dari ahli akar umbi untuk terus menerajui parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Umno seharusnya kembali kepada peraturan dan perlembagaan parti yang telah disusun baik berkaitan kaedah dan tempoh masa untuk pemilihan pelbagai jawatan di semua peringkat.
Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Alor Setar Mohd Yusof Ismail turut membidas segelintir pihak yang membantah dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan dengan alasan ingin memastikan kestabilan bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
“Alasan sama sebelum PRU15. Konon untuk pastikan parti kuat dan menang. Menang apanya? Kalah teruk lagi ada. Paling teruk dalam sejarah. 26 kerusi sahaja berbanding 54 kerusi PRU14.
“Sekarang nak sekat demokrasi dengan alasan kestabilan lagi? Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan sahaja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ni. Jutaan lagi ahli Umno tahu sangat agenda masing-masing,” katanya.
Tambahnya, Umno akan ditimpa mudarat lebih besar sekiranya kedua-dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan nanti.
“Bukan ahli Umno sahaja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka dari Umno.
“Mana kita lagi sanggup tengok, Umno kekal dihormati ahlinya sendiri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa, atau Umno dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” katanya.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) masih belum membuat keputusan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan pemilihan parti akan datang.
Katanya, perkara itu mungkin akan diputuskan pada mesyuarat khas MKT yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno iaitu pada malam 12 Jan.
Perhimpunan Agung Umno dijadualkan pada 11 Jan hingga 14 Jan ini.