Kes letupan di Pandan Indah, polis tahan pasangan suami isteri

Kes letupan di Pandan Indah, polis tahan pasangan suami isteri

Pasangan berusia 33 dan 30 tahun itu ditahan pada 7.20 malam semalam, di sebuah taman perumahan, di Serdang, Kedah.

Keadaan bonet kereta dan sisa bahan letupan yang ditemui di lokasi kejadian. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung letupan yang mengakibatkan seorang pekerja restoran terbunuh di Pandan Indah, Ampang, pada 29 Dis lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi berkata, pasangan berusia 33 dan 30 tahun itu ditahan pada 7.20 malam semalam, di sebuah taman perumahan di Kedah.

Beliau berkata, pasangan itu direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis percaya tangkapan ini boleh membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes itu.

Dalam kejadian pada 8.55 malam itu, lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu tukang masak terbunuh selepas sebuah bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup.

Bungkusan plastik itu meletup sebaik sahaja lelaki itu mengalihkannya menyebabkan mangsa parah di bahagian badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.