
Amir Yunus dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, saringan adalah penting dalam mengekang varian maut baharu itu, dan Vinod Balasubramaniam dari Universiti Monash berkata, ujian pra penerbangan ke atas pelancong adalah “langkah yang logik”.
Mereka mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 di China baru-baru ini.
Bercakap kepada FMT, Amir mengalu-alukan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) menguji air kumbahan pesawat dari China, namun katanya, ia tidak mencukupi.

“Ujian air kumbahan boleh membantu mengenal pasti varian yang sedang menular. Ini memberi kita maklumat awal tentang potensi penyebaran varian tertentu.
“Tetapi ujian ini tidak dapat menentukan individu yang membawa virus itu. Jadi, selain pensampelan air kumbahan, semua penumpang perlu melakukan saringan mandatori melalui ujian pantas antigen (RTK-Ag),” katanya.
Amir berkata, larangan kemasukan pelancong dari China tidak perlu pada ketika ini kerana terdapat vaksin.
Sebelum memutuskan larangan itu, katanya, pihak berkuasa harus melihat keadaan terkini di China.
Vinod berkata, pengembara berumur dua tahun ke atas dan mereka yang dianggap berisiko tinggi harus menunjukkan ujian PCR negatif sebelum keluar dari China.

Beliau menyatakan bahawa varian BF.7 yang ditemui di China telah terbukti lebih berbahaya berbanding varian asal Omicron.
Ujian air kumbahan harus menjadi strategi jangka panjang dalam mengekang varian baharu, katanya kepada FMT.
Dia memetik penyelidik California yang meramalkan penularan Covid-19 di komuniti San Diego 14 hari lebih awal daripada ujian air kumbahan.
“Penutupan sempadan antarabangsa tidak lagi dapat dilaksanakan dalam mengawal penularan Covid-19,” katanya.
“Kita mesti terus hidup dengan virus dengan pengubahsuaian kepada gaya hidup harian kita.”
Minggu lalu, KKM berkata, pihaknya akan menguji sampel kumbahan pesawat dari China dalam meningkatkan pengawasan genom varian baharu.
Antara Jun dan Disember lalu, kementerian mendapati 96.5% sampel air kumbahan yang diambil dari pintu masuk antarabangsa mengandungi varian Omicron.