Fahmi minta DNB perjelas dakwaan liputan 50% 5G

Fahmi minta DNB perjelas dakwaan liputan 50% 5G

Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) belum mengesahkan maklumat tersebut.

DNB berkata ia telah mencapai lebih 90% liputan kawasan berpenduduk di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dan 50% merentasi bandar serta pekan di tempat lain.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meminta Digital Nasional Bhd (DNB) menjelaskan kenyataan syarikat itu bahawa rangkaian 5G dalam negara kini meliputi 50% kawasan berpenduduk.

Dalam catatan Twitter, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) belum mengesahkan maklumat tersebut.

“Saya fikir DNB mesti menjelaskan bagaimana mereka mencapai angka ini,” katanya.

“Selepas ini, saya tidak fikir DNB harus menerbitkan (angka) sebelum pengesahan.”

Beliau mengulas ciapan oleh penganalisis politik James Chin yang memuat naik tangkap layar artikel Ketua Pegawai Eksekutif DNB Nasution Mohamed dilaporkan berkata pelancaran rangkaian 5G di negara ini mencapai hampir 50% di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, mengatasi sasaran awalnya sebanyak 40%.

“Media mesti berhenti mencetak berita palsu,” kata Chin, seorang profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania.

“Saya tidak dapat (isyarat) 4G pun di sebuah bandar di Sarawak. (Saya) membeli kad data 4G dan kelajuannya seperti 3G atau kurang.”

Dalam satu kenyataan pada Ahad, DNB berkata ia telah mencapai lebih 90% liputan kawasan berpenduduk di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta kira-kira 50% di seluruh bandar dan pekan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Syarikat itu berkata negeri lain pula kini dalam pelbagai peringkat kemajuan dan kini sedang memberi tumpuan untuk mencapai sasaran seterusnya meliputi 80% kawasan berpenduduk pada akhir 2024, atau lebih awal.

DNB, yang dimiliki 100% oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (Mof Inc), bertanggungjawab membina dan mengurus rangkaian 5G serta bertindak sebagai penyedia borong tunggal perkhidmatan 5G.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.