Beri semua wakil rakyat peruntukan sama rata, Bersih sokong gesaan Ahli Parlimen

Beri semua wakil rakyat peruntukan sama rata, Bersih sokong gesaan Ahli Parlimen

Kumpulan reformasi pilihan raya itu berkata, peruntukan sama rata perlu dijadikan undang-undang, bukan bergantung kepada ehsan kerajaan mahupun ketuanya.

Bersih mengingatkan kerajaan perpaduan bahawa pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang saksama terkandung dalam manifesto PRU15 PH.
PETALING JAYA:
Bersih menyokong gesaan wakil rakyat pembangkang, termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, agar kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim mengagihkan peruntukan kawasan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

Selain mengingatkan bahawa peruntukan pembangunan kawasan yang saksama terkandung dalam manifesto PRU15 Pakatan Harapan (PH), kumpulan reformasi pilihan raya itu berkata, perkara itu perlu dijadikan undang-undang, bukan bergantung kepada ehsan kerajaan mahupun pemimpin tertingginya.

“(Ini supaya) siapa pun yang memegang tampuk kerajaan selepas ini perlu memberikan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kecenderungan politik,” katanya dalam kenyataan.

“Peruntukan pembangunan kawasan adalah hak rakyat dan merupakan mekanisme yang berkesan dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

“Pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang tidak sama rata dan saksama adalah satu hukuman kepada rakyat kerana memilih wakil rakyat yang tidak berpihak kepada kerajaan.”

Tambahnya, pemberian peruntukan secara sama rata ialah reformasi yang penting untuk menjamin kestabilan politik.

“Pemberian peruntukan secara saksama ini perlu dijadikan salah satu item utama dan segera dalam usaha mereformasi sistem politik dan institusi serta dapat menjadi asas kepada usaha untuk merapatkan jurang antara kerajaan dan pembangkang yang besar selama ini,” katanya.

Besih turut menggesa agar Anwar berbincang dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin berhubung penggubalan undang-undang bagi peruntukan pembangunan kawasan yang selaras di peringkat persekutuan dan negeri, serta reformasi lain “demi mewujudkan persaingan profesional antara parti”.

“Kerajaan persekutuan wajar mengikut teladan kerajaan negeri Perak bawah pimpinan Menteri Besar Saarani Mohamad yang mengumumkan peruntukan kepada 59 ADUN Perak secara sama rata dalam pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2023 pada 22 Dis lepas,” katanya.

Shahidan, dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin, sebelum ini dilaporkan menuntut kerajaan memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.