
“Tunggu sedikit masa lagi, kami akan buat pengumuman tidak lama lagi,” katanya ketika diminta maklumat terkini mengenai status bekas pemimpin Bersatu terbabit.
Pada 10 Dis lalu, Hajiji mengumumkan sekumpulan pemimpin Bersatu Sabah dan penyokong mereka akan meninggalkan parti itu, tetapi kekal bersama GRS.
Spekulasi bertiup kencang kononnya kumpulan itu akan mengambil alih sebuah parti tempatan yang separa tidak aktif dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), berbanding menubuhkan parti baharu.
Ketua menteri Sabah itu berkata, nasib empat bekas Ahli Parlimen Bersatu Sabah itu kini terletak pada speaker Dewan Rakyat.
Khamis lepas, Bersatu menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat memaklumkan terdapat “kekosongan” melibatkan empat Ahli Parlimen yang bertanding pada pilihan raya umum sebagai ahli Bersatu.
Ahli Parlimen terbabit – Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) – sebelum ini berkata, mereka akan meninggalkan Bersatu untuk menubuhkan parti baharu.
“Bersatu telah menghantar notis kepada speaker dan di pihak kami, empat Ahli Parlimen itu turut menghantar jawapan mereka kepada speaker,” kata Hajiji.
“Saya yakin speaker akan membuat keputusan terbaik kerana keempat-empat Ahli Parlimen itu melakukan segala-galanya untuk memastikan mereka tidak melanggar undang-undang anti-lompat parti.”
Salah seorang daripada empat Ahli Parlimen terbabit, Armizan dilaporkan berkata, mereka berempat tidak melanggar undang-undang anti-lompat parti kerana bertanding pada PRU15 atas tiket GRS.