
Syeda berkata, suaminya tidak pernah menjadi anggota polis.
“Beliau wartawan. Anda boleh lihat banyak artikelnya di internet,” katanya kepada FMT.
Syeda menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail ketika mengesahkan kerajaan menghantar Fawad pulang ke negara asalnya “seawal minggu ketiga Ogos lalu”, susulan permintaan Pakistan.
Saifuddin mendakwa Fawad adalah bekas anggota polis yang mempunyai masalah disiplin di Pakistan.
Syeda juga mempersoalkan pihak berkuasa Malaysia mengabaikan hakikat Fawad hidup dalam buangan di Kuala Lumpur dengan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) apabila menghantarnya pulang ke Pakistan, di mana dia mungkin berdepan penganiayaan.
Katanya, penghantaran pulang itu menyebabkan nyawa Fawad dalam bahaya.
“Apabila kami tanya Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini, mereka kata mereka tidak terlibat. Saya tidak menemui suami saya, selepas mencarinya di Pakistan dan Malaysia. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?” soalnya.
Syeda datang ke Kuala Lumpur untuk mencari Fawad, selepas beberapa usahanya menghubungi suaminya gagal. Seorang rakan serumah Fawad membuat laporan polis mengenai orang hilang pada Ogos.
Fawad yang hidup dalam buangan di Malaysia lebih 10 tahun, dilaporkan hilang sejak 23 Ogos tahun lalu.
Lelaki berusia 41 tahun itu memohon suaka politik di Malaysia kerana mendakwa menerima ancaman di Pakistan berhubung artikel dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris di sana berkaitan dakwaan rasuah dalam kerajaan.