SJKC Mun Choong terima guru baharu ganti tempat 6 maut tragedi tanah runtuh

SJKC Mun Choong terima guru baharu ganti tempat 6 maut tragedi tanah runtuh

Enam guru baharu itu memulakan tugas pada hari pertama persekolahan hari ini.

SJKC Mun Choong, Kuala Lumpur memulakan hari pertama persekolahan hari ini dengan enam guru baharu.
PETALING JAYA:
Enam guru baharu mula bertugas di SJKC Mun Choong, Kuala Lumpur, bagi menggantikan tempat guru-guru sekolah itu yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, pada 16 Dis.

Perkara itu dimaklumkan wakil guru semasa berucap di sesi perhimpunan pagi ini.

Menurut Kosmo, sesi persekolahan kelihatan seperti biasa dengan kehadiran para murid dan guru melalui dua pintu utama.

Bagaimanapun, semasa sesi perhimpunan pagi, wakil guru meminta semua warga sekolah bertafakur selama seminit bagi mendoakan rakan-rakan mereka yang maut dan terkesan dalam insiden tanah runtuh itu.

Wakil guru turut mengingatkan kesemua murid untuk melaporkan kepada guru bertugas jika emosi mereka terganggu disebabkan kejadian tersebut.

“Sekiranya ada di antara kamu yang sedih, boleh segera maklumkan kepada guru-guru untuk dapatkan bantuan,” katanya.

Seramai 92 mangsa dilaporkan terbabit dalam tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas, dengan 31 terkorban.

Mangsa yang maut terdiri daripada tujuh kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan, 14 wanita dewasa dan enam lelaki dewasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.