
Beliau berkata, buat masa ini, isu itu menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ketika ini, (KPM) sedang lihat keutamaan untuk tambah prasekolah,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau hari pertama persekolahan di SK dan SMK Jalan Kebun, Seksyen 32 Shah Alam hari ini.
“Ada bincang dengan ketua setiausaha KPM, dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk lihat penambahan (prasekolah).”
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kekurangan prasekolah dan tadika kendalian agensi kerajaan di kawasan bandar menyebabkan ramai ibu bapa tiada pilihan selain mengeluarkan perbelanjaan besar menghantar anak-anak ke tadika swasta.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, pelajar yang ditampar jurulatih bola tamparnya baru-baru ini telah diberi kaunseling dan ibu bapanya dipanggil semalam
Setakat ini, siasatan terhadap jurulatih tersebut masih diteruskan, tambahnya.
Ahad lepas, tular sebuah video memaparkan seorang jurulatih bola tampar menampar pemainnya, mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan serta KPM.
Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) mengesahkan kejadian itu berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Dis lalu.
Susulan kejadian itu, jurulatih terbabit telah digantung daripada terlibat dalam semua aktiviti kebangsaan, kata Mava.