KPM mahu jumpa ibu bapa pelajar ditampar jurulatih

KPM mahu jumpa ibu bapa pelajar ditampar jurulatih

Kementerian Pendidikan akan terus menjalankan siasatan dan memberi kerjasama sepenuhnya berkaitan laporan tersebut.

Semalam tular video jurulatih menampar pemain perempuan dalam kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor bulan lalu.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap jurulatih yang bertindak menampar pemainnya sekiranya didapati bersalah.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius terhadap satu video yang tular di media sosial semalam dan akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib.

Dalam masa sama, KPM berkata, satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa pelajar yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu.

KPM juga berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis jika ada laporan dibuat mengenai insiden tersebut.

Semalam, tular video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya di laman media sosial sehingga ia mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan serta KPM.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam satu kenyataan semalam juga berkata, jurulatih tersebut telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti kebangsaan.

Mava mengesahkan kejadian berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.