Pekebun di Cameron Highlands bimbang, hasil strawberi merosot

Pekebun di Cameron Highlands bimbang, hasil strawberi merosot

Ada pekebun terpaksa membuka ladangnya kepada pengunjung demi menampung pendapatan susulan penyusutan hasil kesan perubahan cuaca.

Pekebun Shaun Kyle menyusun hasil strawberi untuk dijual pada pelanggan.
CAMERON HIGHLANDS:
Seorang pekebun strawberi di Cameron Highlands tidak mempunyai pilihan selain membuka ladangnya kepada pelancong demi menampung kehidupan berikutan kemerosotan hasil buah itu, sejak kebelakangan ini.

Pekebun strawberi Kasimanis, Shaun Kyle, berkata hasil buah itu berkurangan sejak akhir-akhir ini susulan perubahan cuaca.

“Ada masanya suhu meningkat di atas paras 22 darjah (celsius), manakala pada hari lain, cuaca terlalu sejuk. Suhu ideal bagi tanaman strawberi antara 16 dan 22 darjah.

“Iklim terlalu panas akan menyebabkan saiz strawberi mengecil dan kalau terlalu sejuk hasil tidak banyak,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Kyle membuka ladangnya untuk dikunjungi demi menambah pendapatannya.

“Akhir-akhir ini, kami tidak boleh hanya bergantung kepada pendapatan pengeluaran strawberi semata-mata. Kami mesti mencari jalan alternatif lain untuk mengekalkan perniagaan kami,” katanya.

Pemilik ladang strawberi Raju Hill, Selvaraj V, berkata musim tengkujuh dan perubahan iklim menyebabkan cuaca semakin sejuk di Cameron Highlands.

Kyle berkata, banyak tekanan tertumpu kepada ladangnya untuk menyediakan bekalan strawberi mencukupi, sekali gus menyebabkan dirinya bergantung harap kepada pekebun lain demi menampung kekurangan.

Katanya, ada sesetengah pekebun terpaksa mengimport strawberi untuk dijual kepada pengguna.

Dalam pada itu, pemilik ladang strawberi Raju Hill, Selvaraj V, berkata musim tengkujuh ditambah dengan perubahan iklim menyumbang kepada cuaca lebih sejuk di Cameron Highlands, menjurus kepada pengurangan hasil tuaian.

“Corak cuaca hari ini cukup berbeza. Kami pernah menuai hasil antara 200 hingga 300kg strawberi ketika cuaca cerah, namun sejak akhir-akhir ini kami hanya dapat menuai 30kg sahaja dalam sehari,” katanya kepada FMT.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), Dilip Martin, berkata kawasan bukit itu terlalu banyak pembangunan dan banyak bukit sekitarnya sudah diratakan.

“Gunung Jasa kini sudah tiada. Kerajaan membangunkan projek 1Malaysia di sana. Tanah di bandar Ringlet juga dibangunkan untuk projek itu.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), Dilip Martin, berkata hasil strawberi terkesan disebabkan perubahan cuaca, selain penebangan hutan di kawasan persekitaran.

“Suhu di Cameron Highlands pernah berada antara 16 hingga 17 darjah. Ketika ini, suhu antara 18 hingga 21 darjah dan pada masa depan, mungkin ia meningkat antara 22 hingga 25 darjah,” katanya.

Dilip menggesa kerajaan menghentikan penebangan hutan secara sembarangan di Cameron Highlands bagi menangani kesan perubahan iklim.

Katanya, beliau juga mahu undang-undang berkaitan disemak bertujuan mengenakan hukuman lebih keras terhadap mereka yang terlibat dengan penebangan hutan.

Ketika ini, hukuman pencerobohan hutan dikenakan denda RM10,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.