
Jumaat lalu, KKM mengumumkan semua pengembara yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu badan untuk mengesan demam susulan kebimbangan terhadap lonjakan kes Covid-19 di China, dengan ujian PCR ke atas sampel air kumbahan dalam pesawat dari China akan dihantar untuk penjujukan genom, jika ia dikesan positif.
Pengguna Twitter @chrisdanielwong dalam catatannya berkata: “Beritahu saya ini tidak benar? Sepatutnya kita menguji manusia (pengembara) bukan (kumbahan) mereka!”
Hisham dalam maklum balasnya yang merupakan antara individu ditag dalam catatan itu melampirkan lembaran fakta dari Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) dengan menyifatkannya “bacaan baik untuk faham”.
Dalam dokumen dua halaman itu, NEA berkata, memandangkan virus Covid-19 mungkin dijumpai dalam najis atau rembesan pernafasan individu dijangkiti, termasuk mereka dengan gejala ringan atau tidak bergejala, ujian air kumbahan memberikan petunjuk penularan Covid-19 dalam komuniti.
Menurut lembaran fakta itu, pemantauan serpihan virus Covid-19 dalam air kumbahan memainkan peranan penting di Singapura, selepas diperluaskan daripada lapan tapak pada Mei 2020 kepada 440 tapak ketika ini – termasuk kawasan perumahan dan pusat bandar.
Selepas permulaan pertama di asrama pekerja pada fasa awal pandemik Covid-19, NEA berkata, ujian air kumbahan kemudiannya diperluaskan ke asrama pelajar, rumah jagaan dan kawasan kediaman – membantu mengurangkan risiko penularan komuniti dengan memudahkan pengesanan awal kes Covid-19 di kawasan perumahan.
Katanya, fokus terhadap ujian air kumbahan beralih daripada pengesanan kes awal kepada kesedaran situasi.
“Data daripada ujian itu memberi amaran kepada pemilik atau pengendali premis itu, sekali gus mendorong penentukuran langkah kesihatan awam,” menurut lembaran fakta terbabit.
Sementara itu, Reuters pada Jumaat melaporkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan pensampelan air kumbahan diambil dari pesawat antarabangsa untuk mengesan kemunculan varian baharu.
Menurut laporan yang memetik pakar penyakit berjangkit itu, dasar berkenaan akan menawarkan penyelesaian lebih baik dalam pengesanan virus dan memperlahankan kemasukannya ke AS berbanding sekatan perjalanan baharu diumumkan AS dan negara lain minggu ini, yang mewajibkan ujian Covid-19 negatif mandatori untuk pengembara dari China.
Ia memetik Dr Michael Osterholm, pakar penyakit berjangkit di Universiti Minnesota sebagai berkata, sekatan perjalanan seperti ujian mandatori, setakat ini gagal membendung penularan Covid-19 dan berfungsi sebahagian besar sebagai optik.