
Gopal Sri Ram berkata, ramai hakim bersara kekal aktif dari segi mental dan intelek sehingga usia 70an.
“Usia dan pengalaman membawa manfaat kepada sistem keadilan,” katanya kepada FMT.
Sri Ram berkata demikian sebagai respons kepada cadangan agar kerajaan menghidupkan semula usul meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menaikkan usia persaraan wajib hakim, memandangkan kerajaan semasa memegang undi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Perlembagaan pada masa ini memperuntukkan bahawa hakim mesti bersara pada usia 66 tahun, selepas pindaan pada 2005 menaikkannya daripada 65 tahun.
Undi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat diperlukan untuk meluluskan pindaan perlembagaan.
Sri Ram, 79, yang masih aktif mengamalkan undang-undang, berkata beliau lebih suka usia persaraan hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dinaikkan kepada 75 tahun.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa institusi yang bertanggungjawab mesti memastikan hakim yang dilantik memiliki asas yang kukuh dalam prinsip perundangan dan keupayaan untuk menggunapakainya dengan betul.
Beliau berkata, negara telah kehilangan manfaat ilmu hakim-hakim terkemuka seperti Edgar Joseph Jr, Zakaria Yatim, Siti Norma Yaakob, Mahadev Shankar, VC George dan Daryl Goon, yang kesemuanya bersara di kemuncak kerjaya mereka.
Pesara Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus, 73, berkata beliau mengalu-alukan sebarang langkah untuk menaikkan had usia persaraan wajib bagi hakim mahkamah atasan, iaitu Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
“Langkah sebegitu bukan sahaja mencerminkan peningkatan usia jangkaan hidup di negara ini, malah turut selaras dengan amalan di negara Komanwel lain,” katanya.
Beliau berkata, usia persaraan hakim di United Kingdom (UK) dan Australia kini ditetapkan pada 70 tahun, manakala hakim di Kanada bersara pada usia 75 tahun.
“Mereka yang dilantik pada pertengahan usia 50an akan mendapat peluang untuk menikmati tempoh yang lebih lama dan bermakna berkhidmat sebagai hakim,” kata Hishamudin, yang kini menjadi perunding di firma guaman.
Pada November 2016, bekas menteri undang-undang Rais Yatim mengutarakan idea melanjutkan usia persaraan hakim, selaras dengan trend di negara lain.
Katanya ketika itu, walaupun pada usia 70 tahun seorang hakim mungkin tidak mempunyai semangat seperti orang yang lebih muda, beliau masih mempunyai “ketangkasan, kebijaksanaan dan daya minda yang kita mahu”.
Pada Oktober 2018, menteri undang-undang ketika itu, Liew Vui Keong berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang mempertimbangkan pindaan perlembagaan untuk menaikkan usia persaraan hakim kepada 70 tahun.
Liew berkata, cadangan itu wajar memandangkan Dr Mahathir Mohamad baru sahaja menjadi perdana menteri sekali lagi pada usia 93 tahun, individu tertua di dunia dilantik ke jawatan itu.