Kerajaan bentang semula RUU had tempoh PM Jun ini

Kerajaan bentang semula RUU had tempoh PM Jun ini

Langkah diambil susulan kegagalan RUU pinda perlembagaan itu capai undi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada Isnin.

dewan rakyat
RUU pinda perlembagaan untuk had tempoh khidmat perdana menteri kepada 10 tahun gagal capai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebelum ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan membentangkan semula rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun pada sidang Parlimen Jun depan.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata langkah itu diambil selepas cubaan sebelum ini hanya mendapat 146 undi, kurang dua daripada 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Harap dalam sidang yang akan datang, pihak pembangkang bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk memastikan pindaan perlembagaan ini yang tidak bersifat partisan, yang hanya akan menguntungkan demokrasi negara kita, akan dapat diluluskan bersama.”

Apabila ditanya sama ada RUU itu akan ditambah baik sebelum dibentangkan semula, Fahmi berkata, RUU itu akan dibentangkan dalam versi sedia ada.

Pada Isnin, Dewan Rakyat gagal meluluskan RUU pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun selepas undian tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.

Dalam undi blok berkenaan, 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Dilaporkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, manakala semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan menyokong RUU tersebut.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, dua daripada lapan wakil rakyat kerajaan terbabit telah mengemukakan surat penjelasan rasmi kepada Ketua Whip Fadillah Yusof manakala enam lagi masih ditunggu penjelasannya.

Sementara itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut meneliti perkembangan RUU bagi memisahkan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan usul untuk merujuk RUU itu kepada sebuah jawatankuasa khas Parlimen, yang akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, jawatankuasa itu akan meneliti RUU tersebut termasuk dari aspek mekanisme akauntabiliti untuk pendakwa raya, dan mencadangkan sebarang pindaan yang perlu mengenai perkara itu.

Menurut Fahmi, Azalina dijadual mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut pada 16 Mac ini.

“Dijangka proses untuk meneliti pandangan, mengumpulkan maklum balas serta usaha untuk menambah baik RUU tersebut akan mengambil masa sekitar tiga bulan,” katanya.

RUU pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.