
Pengarah Perhutanan Selangor, Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata ia susulan arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di negeri itu yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor 17 Dis lalu, berikutan cuaca buruk dan musim tengkujuh.
“Jabatan Perhutanan Selangor turut mengeluarkan notis arahan penutupan operasi di semua kawasan hutan rekreasi bawah pengurusan jabatan ini sejak Oktober lalu.
“(Notis) masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor mengeluarkan arahan penutupan semua tempat rekreasi di negeri itu selama tujuh hari.
Arahan itu dikeluarkan susulan tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Dis lalu.
Tragedi kira-kira 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, 31 daripadanya maut manakala 61 lagi terselamat selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan.
Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.
Fadzil berkata, larangan dikeluarkan itu selaras Seksyen 47, Enakmen Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) melibatkan larangan mana-mana individu memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit sah.
“Sekiranya didapati bersalah, mereka oleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.