Pesawah Pantai Timur terima bantuan khas Bernas dahulu

Pesawah Pantai Timur terima bantuan khas Bernas dahulu

Pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan menerima bantuan selewat-lewatnya 16 Jan depan.

Seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan Bernas, dengan setiap pesawah akan menerima RM250, menurut MAFS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesawah di Terengganu, Kelantan dan Pahang akan menjadi penerima pertama Bantuan Khas PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) bernilai RM10 juta yang akan disalurkan secara berperingkat.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga negeri itu akan menerima bantuan selewat-lewatnya 16 Jan depan.

“Pesawah di negeri-negeri lain akan menerima (bantuan) apabila baki berjumlah RM50 juta disalurkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 5 Dis lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah “menegur” pemilik Bernas, hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, berhubung monopoli import beras oleh Bernas, dan syarikat itu akan membuat pembayaran kepada pesawah.

Anwar berkata, peruntukan yang akan diberikan kepada pesawah bernilai RM60 juta.

Sementara itu, MAFS berkata, pihaknya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri Pantai Timur itu bagi memastikan proses penyaluran bantuan berjalan lancar.

Menurut kementerian itu, seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan Bernas, dengan setiap pesawah akan menerima RM250.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.