
Katanya, jika PKR menerima surat jemputan ia akan diputuskan secara bersama di peringkat parti.
“Kalau dapat jemputan prosesnya akan dibawa ke biro politik. Biro politik akan buat keputusan. Jadi saya tunggu kalau perkara (surat jemputan) itu telah dihantar secara rasmi,” katanya pada sidang media dalam majlis kenduri rakyat Parlimen Pandan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah PKR menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Bagaimanapun, Rafizi meminta pihak media bertanya kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kerana surat-menyurat dialamatkan kepadanya.
Sementara itu, Rafizi menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan tentang dirinya tidak kompeten sebagai tidak memberi kesan padanya.
Menteri ekonomi itu berkata, rakyat boleh menilai sikap Wan Saiful yang membuat kenyataan seperti itu.
“Dari segi bagaimana prestasi saya akan dihakimi oleh rakyat, itu juga adalah jelas. Saya tidak berniat atau mempunyai rancangan untuk membuat komen politik kepada orang politik yang membuat komen seperti Wan Saiful.
“Berbanding contohnya kalau komen daripada penduduk di Pandan dengan komen daripada Wan Saiful, saya lebih beri perhatian kepada komen penduduk di Pandan,” katanya.
Wan Saiful sebelum ini mencadangkan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani menggantikan Rafizi jika Ahli Parlimen Pandan itu terus tidak kompeten dalam menjalankan tugas sebagai menteri ekonomi.