‘Ejen’ Pakistan mahu komputer riba wartawan selepas ditangkap, dakwa peguam

‘Ejen’ Pakistan mahu komputer riba wartawan selepas ditangkap, dakwa peguam

P Waytha Moorthy berkata lelaki itu meminta komputer riba Syed Fawad Ali Shah daripada rakan serumahnya selepas dia hilang pada Ogos.

Syed Fawad Ali Shah dipercayai ditahan Jabatan Imigresen di sebuah stesen Petronas di Bangsar pada 23 Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Seorang “ejen” Pakistan didakwa datang mencari komputer riba milik wartawan, Syed Fawad Ali Shah yang hilang di rumahnya di Kuala Lumpur selepas ditahan, kata peguam keluarganya P Waytha Moorthy.

Fawad, yang hidup dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun untuk melarikan diri daripada dikenakan tindakan di negara asalnya, hilang sejak 23 Ogos lalu.

Dalam surat terbuka kepada Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, Waytha berkata menurut isteri Fawad, ejen berkenaan didakwa meminta komputer riba Fawad daripada rakan serumahnya beberapa hari selepas dia ditahan.

FMT sudah menghubungi polis berhubung dakwaan terbaharu itu.

P Waytha Moorthy.

Waytha berkata, Fawad dipercayai ditahan Jabatan Imigresen di stesen Petronas dekat Lucky Garden, Bangsar, pada 23 Ogos lalu berdasarkan maklumat diberikan isteri Fawad, Syeda.

“Anak guam saya telah bercakap dengan pegawai penyiasat di balai polis Brickfields melalui telefon dari Pakistan sejak Ogos dan pegawai itu telah mengesahkan bahawa Fawad telah ditahan oleh jabatan tuan.

“Tidak ada hubungan dibuat antara Fawad dan isterinya sejak 23 Ogos. Sebaliknya ada seorang ‘ejen’ Pakistan yang pergi ke rumah Fawad beberapa hari selepas dia ditahan untuk meminta komputer riba Fawad daripada rakan serumahnya,” kata surat itu.

Waytha berkata, sikap berdiam diri Jabatan Imigresen mengenai isu itu dengan memekakkan telinga menyebabkan beliau mengesyaki ada sesuatu tidak diingini berlaku dalam kes berkenaan.

Beliau sudah memberitahu Khairul untuk menyatakan sama ada Fawad ditahan oleh jabatannya pada masa ini dan jika ya, mohon segera membebaskannya.

“Kami menuntut tuan membuat kenyataan awam dalam tempoh 48 jam akan datang, dan sekiranya tuan gagal berbuat demikian, kami akan akan memohon penyingkiran segera tuan daripada jawatan demi kepentingan negara,” katanya.

Fawad, 41, pemegang kad dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), memohon suaka di Malaysia kerana mendakwa ditindas di Pakistan akibat beberapa artikel diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris di negara itu, berkaitan rasuah kerajaan.

Badan pemerhati media antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) berkata, kehilangan Fawad amat “membimbangkan”, sambil menambah bahawa gangguan Pakistan terhadap wartawan yang mengkritik rejimnya amat diperhatikan. Ia diletakkan pada tangga 157 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia.

RSF berkata, jika Fawad dibenarkan pulang ke negara asalnya, Malaysia akan menjadi rakan sejenayah kepada penindasan wartawan Pakistan dan ini akan memberi kesan kepada skor Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar 2023.

Sementara itu, sumber daripada Kementerian Luar, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu FMT bahawa Fawad tidak ditahan atau dihantar pulang.

FMT sudah menghubungi polis, Jabatan Imigresen dan Wisma Putra untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.