MTUC rayu LHDN tak buang 958 pekerja 

MTUC rayu LHDN tak buang 958 pekerja 

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata pihaknya terkejut dengan tindakan LHDN yang didakwa tidak memikirkan nasib pekerja bawahan.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata pihaknya terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN yang didakwa tidak memikirkan nasib pekerja bawahan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak membuang 958 pekerja yang didakwa akan diberhentikan menjelang 1 Jan 2023.

Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor, berkata pihaknya terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN yang didakwa tidak memikirkan nasib pekerja bawahan, malah tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka yang terlibat.

“Pekerja ini menerima gaji sebanyak RM65 sehari dan secara kasarnya lebih kurang RM1,600 sebulan.

“Pengurusan sanggup membuat keputusan yang dangkal dan menyerlahkan pengurusan telah hilang rasa perikemanusian kepada pekerja B40.

“Pengurusan tidak pernah mengadakan perjumpaan atau berbincang dengan wakil pegawai kontrak yang terlibat dalam pembuangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengurusan LHDN menunjukkan sikap angkuh dan sombong dalam menangani soal jaminan pekerjaan.

“Walaupun LHDN bukan pejabat kebajikan yang memberi khidmat kepada penganggur tetapi LHDN perlu menunjukkan rasa simpati kepada golongan bawahan dengan mengekalkan pekerjaan mereka,” katanya.

Kamarul berkata, berdasarkan maklumat disampaikan kakitangan terlibat, mereka yang bakal dipecat berkhidmat antara dua hingga 16 tahun dan menjalankan khidmat dengan baik.

“Adakah pengurusan telah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas keputusan ini kerana MTUC yakin perdana menteri tidak akan bersetuju dengan pembuangan ini. Perdana menteri tokoh pejuang golongan bawahan,” katanya.

Pihaknya berharap pembuangan pekerja oleh LHDN bukan cerminan kepada sikap semua pengurusan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kerana ia dibimbangi akan dijadikan alasan majikan lain termasuk syarikat swasta.

“Sepatutnya pengurusan menguruskan bekas pekerja ini dengan menempatkan atau mencari peluang pekerjaan di tempat lain. Pelan kebajikan pekerja selepas pemberhentian perlu difikirkan oleh pengurusan LHDN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.